Rabu, 23 April 2008

DEB DIMANSUHKAN?




Isu DEB dimansuhkan hebat diperkatakan kebelakangan ini selepas DAP melalui pakatanya PAS dan PKR berjaya menawan Negeri Pulau Pinang. Hanya beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng melalui kenyataannya akan memansuhkan DEB. Ini merupakan satu kenyataan yang mengejutkan kerana sepanjang DEB dilaksanakan menampakkan kejayaan yang amat besar dalam menyusun semula struktur masyarakat dan juga untuk membasmi kemiskinan. Pemansuhan DEB ini akan memberi kesan yang amat ketara khususnya kepada orang Melayu.


Pemansuhan DEB di Pulau Pinang akan menyebabkan orang Melayu di sana akan terus terpinggir dalam pembangunan ekonomi. DEB telah banyak memberi peluang yang seimbang kepada orang Melayu dalam bidang ekonomi untuk terus bersaing. Ketika di bawah pemerintahan parti Gerakan, orang Melayu masih lagi terpinggir dalam bidang ekonomi dan inikan pula jika DEB dimansuhkan. Dasar ekonomi ini banyak memberi keseimbangan dalam kuota perniagaan, gerai, projek pembangunan, pendidikan dan perumahan supaya orang Melayu tidak ketinggalan jauh daripada kaum lain.

Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati orang Melayu Pulau Pinang. Perkara ini terbukti berlaku apabila kira-kira 3000 anggota daripada pelbagai NGO Melayu dan penyokong Melayu berkumpul secara aman di perkarangan Masjid Simpang Enam berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (komtar) yang berlangsung selama satu jam bermula pada jam 2.30 hingga 3.30 petang selepas disuraikan oleh pihak polis.

Dalam hal ini beberapa persoalan perlu diungkaikan demi untuk membantu orang Melayu agar tidak lagi ketinggalan ke belakang. Adakah langkah yang telah diambil oleh DAP atau Parti Alternatif ini satu langkah yang bijak seperti yang tertulis dalam menifesto untuk mewujudkan negara kebajikan? Adakah nasib Melayu lebih baik apabila DEB dimansuhkan? Apakah peranan yang dimainkan oleh orang Melayu dalam kepimpinan PAS dan PKR di Pulau Pinang untuk membela nasib orang Melayu di sana? Dan jika Barisan Alternatif ini memerintah negara adakah hak-hak keistimewaan terus dipelihara?

TEPUK DADA TANYA SELERA

Isnin, 21 April 2008

DASAR EKONOMI BARU

== Dasar Ekonomi Baru ==

Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.

Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:-

* penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

* pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum.

Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai, strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar. Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai. Laporan Rancangan Malaysia Keenam telah menunjukkan bahawa kadar kemiskinan negara pada tahun 1990 ialah 17.1% berbanding 49.3% pada tahun 1970.

Bagi memastikan matlamat yang kedua dalam DEB turut tercapai, kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan pada masa yang sama, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi telah dirancang, antaranya:

* Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990.

* Mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.

* Menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain.

* Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar.

Latar belakang

Perlaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu. Pengelasan kaum merujuk pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza mengelakkan interaksi antara penduduk di Tanah Melayu yang terdiri daripada 3 rumpun utama iaitu bangsa Melayu, orang Cina dan India. Melalui dasar ini orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar kampung dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969.

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati bangsa Melayu masih tertinggal jauh dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar. Manakala orang Cina pula lebih terkehadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan mereka tinggal di kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan. Lantas timbul kesedaran di kalangan orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu.

Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap orang Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Turut memburukkan keadaan adalah kerana, kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala Orang Melayu kebanyakan menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948–1960.

Penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 akibat konsep "Malaysia untuk orang Malaysia" yang yang secara tidak langsung turut mempertikai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu telah diapi-apikan oleh Lee Kuan Yew menyemarakkan perasaan anti-Cina dan anti-Melayu. Kejadian-kejadian tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Ia telah mengorbankan banyak nyawa dan harta-benda adalah manifestasi hubungan antara kaum di Tanah Melayu yang sememangnya retak menanti belah. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.

Kacau bilau dan pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah darurat. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan atas nasihat Perdana Menteri dengan serta-merta telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara. berkuat kuasa 16 Mei 1969. Pengisytiharan ini telah menyebabkan sistem kerajaan berparlimen digantung. Atas perakuan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tun Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertanggungjawab menjalankan kuasa pemerintahan bagi Persekutuan berdasarkan kuasa yang diwakilkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan MAGERAN, Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab untuk membincang dan meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum. Majlis ini mendapati satu masalah yang paling ketara yang dikenal pasti ialah struktur masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah didapati masyarakat Malaysia masih terbahagi atas dasar keturunan, agama dan pekerjaan. Perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati penyatuan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu Majlis Perundingan Negara telah bersetuju membentuk satu ideologi negara yang kemudiannya dikenali sebagai Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip utama iaitu:

* Kepercayaan kepada Tuhan
* Kesetiaan kepada Raja dan Negara
* Keluhuran Perlembagaan
* Kedaulatan Undang-Undang
* Kesopanan dan Kesusilaan

Dasar Ekonomi Baru juga dibentuk menerusi Majlis Perundingan Negara sebagai jentera penggerak untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Majlis Perundingan Negara juga telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk melaksanakan aktiviti berbentuk muhibbah Majlis Muhibah dan Pejabat Muhibah di peringkat pusat, negeri, daerah dan kawasan telah ditubuhkan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibah) 1969 yang telah diwartakan pada 18 Julai 1969.

WARISAN

WARISAN

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di nusantara 3x